EDINBURGH – Senarai global bandar terbaik di dunia bagi tahun 2022 menyaksikan Edinburgh di Scotland menduduki tempat teratas, lapor laman berita Lad Bible kelmarin.
Bandar Edinburgh dipenuhi bangunan bersejarah dan muzium dengan banyak acara kebudayaan turut diadakan termasuk festival tahunan Fringe.
Suasana malam di ibu negeri Scotland itu juga tidak kurang menariknya. Bandar itu juga memiliki manfaat lain seperti sistem pengangkutan yang mantap dan semangat kemasyarakatan penduduknya.
Perincian mengenai kelebihan bandar-bandar bandar terbaik dunia itu dinyatakan dalam senarai 2022 Time Out Index iaitu tinjauan melibatkan beribu-ribu individu tentang kehidupan di bandar mereka.
Menurut indeks tersebut, Edinburgh mengalahkan bandar Medellin di Colombia dan Chicago di Amerika Syarikat (AS) dengan 88 peratus responden mengatakan ‘mudah untuk menyatakan siapa anda’ di bandar itu.
Sebanyak 93 peratus responden memberi kedudukan tinggi kepada bandar itu untuk kerana ‘mudah untuk pejalan kaki’, manakala 95 peratus menyifatkannya sebagai ‘cantik’.
Selain itu, 91 peratus peserta lain menghargai Edinburgh kerana ‘penduduknya tidak biadap’ dan 96 peratus menganggap bandar itu ‘tidak membosankan’.
Indeks tersebut juga mendedahkan, 89 peratus peserta mengundi skor tinggi untuk Edinburgh kerana ‘tidak tertekan’ berbanding London yang menduduki tempat ke-17 dalam senarai.
Sebuah lagi bandar di Scotland juga tidak ketinggalan iaitu Glasgow yang menduduki tempat keempat. Indeks itu menyatakan bahawa 78 peratus penduduk Glasgow menyifatkan bandar itu sebagai mesra, manakala yang lain bersetuju ia mempunyai ruang hijau yang besar dan pelbagai perkara untuk dilakukan.
Di tempat lain dalam kaji selidik itu, Sydney disenaraikan sebagai bandar ketiga terburuk di dunia ‘untuk mencari kawan’, mendahului Copenhagen yang menduduki tempat kedua terakhir, manakala Stockholm menduduki tempat tercorot.
Kuala Lumpur pula menduduki tempat ke-33 dalam senarai bandar terbaik di dunia. – Agensi