MEKAH – Seramai 16,000 warga Arab Saudi dan ekspatriat yang menetap di negara berkenaan mendaftarkan diri untuk mengerjakan umrah dalam masa beberapa jam pertama selepas aplikasi umrah, Itamarna dilancarkan Ahad lalu, kata pihak berkuasa kota suci Mekah, demikian menurut portal berita Saudi Gazette semalam.
Pendaftaran jemaah umrah untuk tempoh 10 hari pertama sudah penuh, kata pihak berkuasa berkenaan di akaun Twitternya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan bahawa ibadat umrah akan dibenarkan secara berperingkat mulai 4 Oktober ini.
Pada fasa pertama, seramai 6,000 jemaah dibenarkan melakukan ibadah itu dalam sehari. Mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada 500 jemaah.
Menurut kenyataan pemerintah, Masjidil Haram di Mekah akan akan menjalani prosedur pembasmian kuman sebanyak 10 kali sehari.
Air zamzam pula akan diagihkan kepada jemaah dalam bentuk air minuman dalam botol.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan, jemaah adalah dilarang menghampiri Kaabah dan Hajarul Aswad.
Kerajaan Arab Saudi juga akan menempatkan pasukan perubatan bagi membantu kumpulan jemaah. – Agensi