PETALING JAYA – Sepasang suami isteri ‘terduduk’ apabila menanggung hutang yang banyak akibat menggunakan tunai daripada kad kredit untuk perniagaan mereka.
Mereka berbuat demikian selepas menanggung kerugian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, tindakan itu tidak dapat menyelamatkan perniagaan sekali gus ditutup.
Menerusi perkongsian perunding kewangan dan pelabur hartanah, Ky Tee berkata, lelaki tersebut mempunyai lebih 10 kad kredit serta dua pinjaman peribadi kesemuanya di dalam Special Attention Account (SAA). (belum dijelaskan dan masih di bawah pemerhatian pihak bank)
“Dalam laporan CTOS ada sangkut bayaran ansuran kereta selama lapan bulan dan beberapa kes saman daripada pihak bank.
“Nasib baik dia ada sebuah rumah dibeli pada tahun 2012 untuk pelaburan dengan nilainya meningkat tinggi,” katanya pada hantaran di media sosial.
Beliau berkata, isteri lelaki tersebut pula mempunya tiga kad kredit sudah disenarai hitam hutang melebihi RM60,000 selain pinjaman peribadi yang banyak dengan bayarannya sudah mula sangkut.
“Mereka tanya ada apa-apa cara hendak selesaikan masalah tersebut. Saya sudah kira, kalau jual rumah itu boleh dapat tunai anggaran RM300,000.
“Jadi saya menasihatkan mereka menjualnya sebab keuntungan yang dapat cukup untuk membayar semua hutang kat kredit dan pinjaman peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE