fbpx

Cuaca panas ekstrem kini norma baharu manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
klim yang berubah dan cuaca ekstrem meningkat adalah norma-norma baharu pada tahun-tahun dan dekad mendatang. - Gambar hiasan
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

FENOMENA gelombang haba di Eropah mencatat rekod terburuk tahun ini dengan beribu-ribu penduduk dilaporkan meninggal dunia akibat suhu melampau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 22 Julai lalu, lebih 1,700 kematian dica­tatkan di Sepanyol dan Portugal sahaja, dengan insiden kebakaran hutan semakin kerap di Perancis, Greece, Portugal, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Berdasarkan data program pemantauan Bumi Kesatuan Eropah (EU), Copernicus, jumlah kebakaran hutan di blok itu sejak tahun ini adalah hampir empat kali ganda daripada purata 15 tahun bagi tempoh sama.

Menurut Copernicus, sebanyak 1,926 kebakaran hutan direkodkan di negara-negara EU sejak awal tahun ini sehingga 23 Julai lalu.

Di Britain misalnya, banyak kawasan mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius tengah bulan lalu. Keadaan itu bertambah buruk sehinggakan landasan Lapangan Terbang Luton di London mencair pada 18 Julai lalu.

Menurut Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Fredolin Tangang, berdasarkan Laporan ­Penilaian Iklim Ke-6 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC)

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gelombang haba yang mempunyai tempoh ulangan 10 tahun telah menjadi lebih kerap berlaku iaitu pada kadar tiga tahun sekali.

“Bumi semakin nazak dan berdepan dengan situasi yang mana suhu dunia akan meningkat lebih tinggi daripada 2 darjah Celsius, iaitu aras pengekangan peningkatan suhu yang sepatutnya di bawah Perjanjian Paris.

“Kepekatan gas karbon dioksida kini telah mencapai 420 ppm, melebihi 40 peratus daripada kepekatan sebelum zaman perindustrian Eropah,” ujar beliau.

Pada ketika ini, dunia membebaskan sekitar 59 Gigaton Karbon dan menurut Laporan IPCC, jumlah itu perlu dikurangkan sekitar 20 hingga 30 Gigaton pada 2030 serta mencapai tahap sifar (net zero) menjelang pertengahan abad bagi mencapai peningkatan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius.

Menurut Fredolin, ada kajian yang menunjukkan kebarangkalian untuk dunia mencapai sasaran pengehadan peningkatan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius hanya satu peratus dan lima peratus bagi 2 darjah Celsius.

Mengulas mengenai keadaan suhu ekstrem di Malaysia, Fredolin berkata, negara ini perlu me­ningkatkan daya tahan iklim.

Katanya, kerajaan perlu memastikan walaupun dalam kea­daan iklim dunia berubah dan suhu meningkat, dengan peningkatan daya tahan tersebut, negara dapat meminimumkan impak perubahan iklim terutamanya kesan cuaca ekstrem.

“Kerajaan telah mengumumkan Pelan Adaptasi Kebangsaan dan ini perlu dilaksanakan secara serius dan berkesan.

“Negara juga perlu memperkemaskan polisi-polisi berkaitan supaya aktiviti pembangunan terutamanya guna tanah adalah mapan dan mematuhi pelan adaptasi iklim negara. Polisi sebegini perlu terpakai di semua peringkat pentadbiran termasuk kebangsaan, negeri dan kerajaan tempatan,” jelas­nya.

Tambah Fredolin, sama se­perti Covid-19, kita perlu bersedia menjalani kehidupan bersama dengan perubahan iklim.

“Iklim yang berubah dan cuaca ekstrem meningkat adalah norma-norma baharu pada tahun-tahun dan dekad mendatang,” ujarnya.

Justeru, meskipun impak perubahan iklim dilihat seperti tidak dapat dielakkan, setidak-tidaknya negara perlu berada dalam keadaan bersiap sedia agar impak bencana atau suhu melampau dapat dikurangkan.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI