BALIK PULAU – Seorang warga emas sanggup bersengkang mata mengambil upah mencari daun pisang hutan dengan menunggang motosikal hingga ke kawasan bukit Teluk Kumbar di sini demi kelangsungan hidup.
Mohd. Yusuff Noon, 70, yang juga bekas nelayan pantai itu berkata, dia terpaksa bekerja keras dalam usia yang semakin lanjut bagi menyara kehidupan bersama isterinya, Asiah Hashim, 75.
Menurutnya, dia mencari bekalan daun pisang hutan seorang diri untuk memenuhi permintaan dua pelanggan tetap yang juga peniaga nasi lemak di sekitar Teluk Kumbar.
“Di usia sebegini sepatutnya sudah berehat di rumah, namun disebabkan peningkatan kos sara hidup, saya terpaksa mencari sumber kewangan bagi menjana pendapatan harian termasuk isteri yang mengambil upah sebagai pengasuh.
“Kami tiada pendapatan tetap dan bukannya individu yang berpencen, jadi inilah rezeki kami,” katanya kepada Kosmo! di rumah sewanya di Kampung Matahari Naik di sini baru-baru ini.
Mohd. Yusuff memberitahu, setiap tiga atau empat hari seminggu, dia akan keluar mencari daun pisang hutan dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk mendapatkan kira-kira 50 kilogram bekalan.
Ujarnya, dia menjual daun pisang itu pada harga RM2 setiap kilogram dan akan membuat penghantaran kepada pelanggan setiap seminggu sekali.
“Jumlah bekalan daun pisang hutan yang diambil dalam masa sehari juga bergantung pada cuaca selain keadaan kesihatan diri disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.
“Cukup tidak cukup memang kena pandai simpan dan berjimat. Duit daripada hasil jualan kira-kira RM400 hingga RM450 sebulan itu akan digunakan untuk membayar sewa rumah RM250, bil elektrik dan air, makan serta pembelian barangan dapur,” ujarnya.
Katanya, dia amat berharap untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi meringankan beban.
“Saya tidak kisah berapa jumlah bantuan itu, janji kami mempunyai sumber kewangan bulanan yang tetap,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB milik atas nama Mohd. Yusuff 7056605589 atau menghubunginya di talian 013-271 4317.