LONDON – England melakar sejarah tersendiri apabila memenangi kejohanan utama bola sepak wanita buat julung kalinya selepas menjulang trofi Euro 2022 menewaskan Jerman 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Lionesses mendahului perlawanan pada minit ke-62 menerusi Ella Toone sebelum Lina Magull menyamakan kedudukan 12 minit kemudian, namun Chloe Kelly muncul sebagai wira England apabila meledak gol kemenangan pada masa tambahan.
Kapten England, Leah Williamson tidak dapat membendung rasa gembira dan terharu apabila menitiskan air mata selepas melihat rakan sepasukan berjuang habis-habisan sepanjang 120 minit permainan.
“Saya tidak dapat berhenti menangis kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini. Kami sentiasa bercakap mengenai peluang untuk muncul juara dan akhirnya ia menjadi kenyataan.
“Kejayaan ini akan menjadi satu detik yang paling dibanggakan dalam hidup saya. Kemenangan ini juga dilihat berjaya menyatukan orang ramai dan bakal menjadi satu legasi terbaik,” katanya.
Sementara itu, Kelly yang merupakan wira Lionesses menyuarakan rasa tidak percaya apabila jaringannya pada minit ke-110 berjaya menghadiahkan gelaran Euro pertama buat England dalam sejarah bola sepak wanita.
“Saya sentiasa percaya pada diri sendiri, namun untuk menjaringkan gol kemenangan, ia sukar untuk dipercayai. Kemenangan ini sesuatu yang sangat hebat, saya hanya mahu meraikannya,” ujarnya. – AGENSI