BUDAPEST – Pelumba pasukan Red Bull, Max Verstappen memuji strategi yang direncanakan pasukannya selepas dia berjaya memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary di Litar Hungaroring malam kelmarin.
Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-10, namun strategi hentian pit dan pemilihan tayar berjaya memastikan juara dunia itu untuk berada di depan sebelum menamatkan saingan sebagai pemenang.
Verstappen mengakui, dia sendiri tidak menjangka keputusan seperti itu memandangkan bermula agak jauh di belakang, namun permulaan yang baik nyata memberikan harapan kepadanya.
“Saya fikir ramai yang tidak menjangkakan keputusan seperti ini, namun saya dan pasukan tetap tenang sebelum perlumbaan bermula. Walaupun perlumbaan agak sukar, tetapi kami dapat uruskannya dengan baik.
“Selepas berjaya memintas beberapa pelumba, kami ambil keputusan untuk melakukan hentian pit dan menggunakan tayar yang tepat. Kemudian, saya lihat Charles (Leclerc) bergelut dengan tayar keras, jadi saya ambil peluang untuk memintas,” katanya.
Pelumba dari Belanda itu juga mengakui lega kerana pilihannya untuk memulakan perlumbaan menggunakan tayar lembut satu langkah yang tepat memandangkan pada awalnya pasukan mencadangkan tayar keras.
“Sebelum perlumbaan, pasukan beri cadangan gunakan tayar keras, tetapi saya ambil keputusan keluar dengan tayar lembut. Jika tayar lembut sudah kurang mencengkam, apatah lagi dengan penggunaan tayar keras,” ujar nya
– AGENSI