WASHINGTON – Seorang wanita dirakam berkelakuan ganas seperti dirasuk ketika dia menaiki sebuah pesawat menuju ke bandar Detroit di negeri Michigan, Amerika Syarikat pada Ahad lalu.
Rakaman video penumpang pesawat berkenaan menunjukkan wanita itu memanjat tempat duduk penumpang sambil menjerit kata-kata makian dan cercaan terhadap penumpang lain.
Menurut akhbar The Sun, penumpang penerbangan itu terkejut melihat wanita tersebut terjerit-jerit seperti hilang akal.
Dalam rakaman berdurasi hampir dua minit itu, dia kemudian cuba ditenteramkan oleh tiga lelaki. Mereka cuba memaksa wanita itu turun daripada tempat duduk penumpang dengan mencengkam pergelangan tangannya.
Dia akhirnya berjaya ditenteramkan, namun masih melontarkan kata-kata kesat kepada mereka.
“Saya cuma mahu pulang ke rumah,” ujar salah seorang penumpang yang terperanjat menonton aksi tidak diduga itu.
“Dia berada dalam keadaan normal setengah jam lalu. Mungkin dia ada mengambil bahan terlarang sebelum mengamuk,” kata seorang penumpang lain dalam klip video tersebut.
Rakaman video itu mencatat hampir 300,000 tontonan setakat ini.
Sebanyak 1,500 komen ditinggalkan berhubung klip video tersebut dan rata-rata, netizen menyamakan wanita itu dengan karakter yang dirasuk syaitan dalam filem The Exorcist. – Agensi