SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini ditangguh sementara bagi menghormati pemergian bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut memohon izin meminta semua pihak bertafakur selama seminit dan menangguhkan sidang itu sehingga pukul 2.30 petang.
Beliau berkata, Allahyarham menyumbang banyak jasa di negara ini termasuk idea membangunkan pesisir Sungai Klang, iltizam Selangor Penyayang dan pengukuhan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).
“Atas sumbangan itu, saya memohon sidang dewan ditangguhkan sementara bagi memberi peluang menziarah dan menghadiri pengebumian jenazah Allahyarham.
“Sebagai tanda penghormatan, saya memohon dewan ini bertafakur selama seminit mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya dalam Sidang DUN itu.
Jelas Amirudin, Abdul Khalid turut merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok dan Pelabuhan Klang pada 2008 hingga 2018.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur pukul 11.08 malam tadi di samping ahli keluarganya.
Abdul Khalid dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. -KOSMO!ONLINE