fbpx

Johan Raja Lawak, Fizi Ali kini jadi penyampai Hot FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERMULA 2 Ogos ini, Hot FM tampil dengan dua tonggak terbaru, Johan dan Fizi Ali selain penjenamaan semula tagline stesen radio itu.

PETALING JAYA – Desas-desus mengenai kemasukan penyampai radio, Johan dan Fizi Ali menjadi sebahagian daripada barisan DJ Hot FM akhirnya terjawab apabila mereka disahkan sebagai anggota terbaharu stesen tersebut, malam tadi.

Johan atau nama sebenar Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 38, bakal bergandingan dengan Fara Fauzana dan AG dalam segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi.

Manakala Fizi yang juga bekas penyampai Suria FM, disatukan dengan Fad mengendalikan segmen Hot FM Sembang Squad pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam.

Bermula tarikh sama, 2 Ogos ini, Hot FM turut memperkenalkan pembaharuan ‘tagline’ iaitu daripada Kini Lebih Muzik Yang Hangat ditukar kepada Yang Hangat dan Terbaik.

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura, berkata, pembaharuan dari segi barisan penyampai dan ‘tagline’ dapat memberikan kelainan selain tampil lebih hangat dan terbaik.

‘Hot FM tampil dengan pembaharuan sekali lagi menerusi penjenamaan semula ‘tagline’ stesen serta kehadiran dua tonggak terbaru, Johan dan Fizi Ali yang pastinya memberikan kelainan.

“Bersama nama segmen baru, Bekpes Hot serta HaHaHa-Ngat, ia sesuatu yang berbeza dari segi pengisian dan kandungan segmen supaya lebih segar, lucu, berceloteh dan gelak tawa yang mampu menyuntik aura positif kepada pendengar.

“Perubahan ‘tagline’ ini dicetuskan selaras kepada pemantapan elemen identiti jenama kami yang memberi gambaran berkenaan pengisian dan kandungan yang dibuat Hot FM.

“Ini juga antara strategi memastikan pendengar sentiasa lebih dekat, selain bertepatan pengisian yang memfokuskan kepada setiap kandungan, barisan penyampai, muzik serta aktiviti lapangan stesen radio ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, menurut Nik Nor Azura, duo penyampai radio baharu segmen petang yang menyaksikan paduan antara Fizi dan Fad diyakini mampu mengukuhkan lagi Hot FM Sembang Squad.

“Duo baharu lebih macho dan mantap akan mengendalikan segmen petang dengan pengisian lebih segar dengan cerita hangat masa kini.

“Malah, Fad dan Fizi akan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita mengenai drama disiarkan di TV3.

“Mereka akan ke udara bermula 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat,” kata kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, segmen Hot FM Non Stop Empat Lima bersama Ayu akan ke udara bermula 10 pagi hingga 3 petang dengan memfokuskan kepada 45 minit lagu bebas iklan, muzik istimewa dan ulangan segmen pagi.

Segmen malam pula, Hot Flix masih dikendalikan Imran Aqil yang membawa pendengar generasi muda kepada hiburan dan interaksi bersama selebriti, pemain video, pempengaruh serta pendengar yang aktif dalam media sosial.

Sementara itu, Johan menerusi Instagram (IG), malam tadi meluahkan kesyukuran apabila khidmat serta bakatnya masih dihargai.

“Rezeki Allah datang dengan pelbagai cara. Yang pasti usaha, doa, tawakal dan reda atas setiap ujian.

“Allah uji dengan kesedihan dan kami reda. Maka, Allah ganti dengan yang baharu.

“Syukur kepada Allah masih ada yang hargai. Jangan lupa dengarkan Hot FM, setiap Isnin hingga Jumaat bersama Bekpes Hot bersama saya, Fara dan AG,” tulisnya.

Johan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang kuat stesen radio tersebut selain kelab peminatnya, The Joz Heart. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN