fbpx

Denyut atau degup, rezeki saya melimpah-ruah – Nuha Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUHA BAHRIN

PETALING JAYA – Kecoh tentang penggunaan perkataan ‘denyut’ dalam lagu popular dendangannya, Casablanca yang disifatkan sebagai tidak mengikut hukum tatabahasa, penyanyi Nuha Bahrin bersikap terbuka menerima pandangan orang ramai.

Nuha atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, 21, berkata, perihal tersebut terpulang kepada pandangan dan penerimaan sesiapa yang mendengar.

“Saya tak boleh nak beri ulasan yang terlalu terperinci namun bagi saya, masing-masing ada pandangan sendiri. Saya tak kisah sekiranya orang di luar sana berikan pendapat sama ada perkataan ‘denyut’ itu tidak tepat atau pun ada perkataan yang lebih sesuai.

“Pada saya dua-dua pun betul saja. Apa pun, terserahlah kepada pendengar, mana yang lebih sesuai atau sedap didengar bagi mereka. Saya tak boleh nak berikan komen lanjut mengenainya,” kata penyanyi kelahiran Rawang, Selangor itu.

Terdahulu, penggunaan perkataan tersebut kecoh menjadi polemik dalam media sosial selepas seorang guru menyarankan penggunaan perkataan ‘degup’ yang lebih bersesuaian berbanding ‘denyut’ sekiranya mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu sebenar.

Sungguhpun begitu, Nuha yang bakat nyanyiannya dicungkil menerusi program realiti, Vokal Mania berasa terharu atas penerimaan baik terhadap lagu ciptaan komposer Daqmie dan Wan Saleh serta lirik oleh Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu.

Katanya, rezeki sememangnya tidak salah alamat dan apa yang dikecapinya sekarang memberikan inspirasi untuk dirinya terus melahirkan karya-karya lebih bermutu selepas ini.

“Sambutan lagu Casablanca memang tidak disangka-sangka sebenarnya. Sesuatu yang besar dan saya sendiri tidak menyangka. Pada masa sama, saya bersyukur atas apa yang Allah kurniakan sekarang.

“Sebab rezeki yang saya dan rakan duet, Naufal Azrin terima ini bagi saya sesuatu yang melimpah-ruah. Malah, saya gembira apabila lagu ini turut mendapat sambutan hingga ke Indonesia, alhamdulillah,” katanya lagi.

Sehingga kini, muzik video rasmi Casablanca sudah mencatatkan lebih 13 juta tontonan di YouTube dan berada di posisi teratas carta lagu popular laman penstriman muzik seperti Spotify dan juga di carta radio popular tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI