PETALING JAYA – Tular baru-baru ini di dalam media sosial hidangan tiram (oyster) mentah sehingga menjadi ‘buruan’ orang ramai untuk mencuba menu tersebut.
Namun, tiram mentah sebenarnya boleh mengundang risiko keracunan makanan memandangkan ia berasal dari laut dan terdapat bakteria vibrio parahaemolyticus di situ.
Menurut hantaran di laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Labuan, bakteria ini termasuk dalam bakteria patogenik penyebab keracunan makanan.
“Bilangan bakteria ini akan bertambah banyak ketika suhu air meningkat (yang pasti di Malaysia suhu adalah panas).
“Malah, bakteria ini boleh membiak pada kerang-kerangan moluska termasuklah tiram.
“Apabila ia dimakan mentah atau separuh masak, keracunan makanan boleh berlaku,” katanya pada hantaran itu.
Selain bakteria, penyimpanan tiram juga penting kerana perlu disimpan dalam suhu sejuk selepas penangkapannya.
Katanya, suhu penyimpanan yang sejuk amat penting bagi mengekalkan kesegaran agar ia tidak cepat rosak.
“Anda perlu ambil berat risiko makan tiram mentah, boleh mengalami keracunan makanan di antara 12 hingga 24 jam selepas makan dan berakhir tiga hingga tujuh hari.
“Simptom keracunan makanan adalah seperti cirit-birit, sakit perut, muntah dan demam,” jelasnya.
Justeru dinasihatkan untuk masak tiram dengan sempurna bagi mengelak keracunan makanan. -KOSMO! ONLINE