fbpx

Silat Dunia: Al Jufferi sumbang emas ketujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Al Jufferi Jamari meraikan kemenangan VIP Match akhir kelas F pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka. /FOTO RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Mohd. Al Jufferi Jamari meraih kutipan pingat emas ketujuh sekali gus mencapai sasaran kontinjen silat negara pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Perjuangan sembilan pesilat negara yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita di saingan akhir berjaya membawa pulang empat kilauan emas meskipun berlaku kontroversi sewaktu pertemuan antara Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aniq Asri Mohammad dari Singapura.

Tiga pingat emas sebelum itu disumbang menerusi acara silat artistik yang menutup gelanggang Jumaat lalu.

Kemenangan Mohd. Al Jufferi menuai emas terakhir negara turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu menyempurnakan majlis penutupan kejuaraan.

Kejuaraan dunia yang disandang dalam Kelas F menewaskan Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia dengan keputusan 35-21 itu menobatkan atlet berusia 30 tahun itu sebagai juara dunia buat kali keempat sejak 2012.

Kemenangan itu juga menebus kekecewaan selepas rakan sepasukannya, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang gagal mempertahankan gelaran disandangnya di Singapura pada 2018 apabila tumpas kepada Quang Thi Thu Nghia dari Vietnam, 35-60.

Tiga lagi emas milik negara disumbangkan Muhammad Robial Sobri, Nor Farah Mazlan dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.

Bertanding dalam Kelas I, Muhammad Robial meraih kemenangan selepas penyertaan lawannya, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan sebelum tamat pusingan ketiga.

Buat pesilat berasal dari Kedah itu, kemenangan tersebut adalah gelaran pertamanya dinobatkan selaku juara dunia bagi Kelas I.

Kemenangan itu hadir susulan tindakan lawan yang menumbuk pipi kanan Muhammad Robial, sekaligus menyebabkan pesilat negara terjatuh serta dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Nor Farah kini mampu mendabik dada apabila menyertai senarai juara dunia yang pertama kali buatnya selepas meraih kemenangan dalam Kelas F.

Beraksi dalam saingan penuh sengit menentang Nadhrah Sahrin dari Singapura, pesilat dari Kota Belud, Sabah berusia 24 tahun itu berjaya melakar kemenangan tipis 25-23. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI