fbpx

Kerajaan beri RM1 juta martabatkan seni silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri melambai selepas berucap pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di MITC Ayer Keroh, Melaka, hari ini. Gambar RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Kerajaan mengumumkan pemberian dana sebanyak RM1 juta kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 Tahun 2022 di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan tersebut adalah bagi menghargai dan membantu pertubuhan itu mengembangkan silat ke persada dunia.

“Sukacitanya, pada malam ini saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Pesaka.

“Ini adalah salah satu bentuk penghargaan kepada pesilat dalam negara dan membantu Pesaka mengembangkan seni silat di persada dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 Tahun 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran kejuaraan itu juga merupakan satu penghormatan besar kepada negara sebagai tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian.

“Malaysia berbangga dan berbesar hati kerana dapat menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia dan berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama ini dapat dianjurkan.

“Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam sama,” katanya.

Beliau berkata, seni warisan itu terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahli terdiri dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI