TOKYO – Jepun menyaksikan peningkatan sambutan baik orang ramai dalam program menderma rambut bagi tujuan pembuatan rambut palsu perubatan untuk kanak-kanak yang menghidap kanser dan penyakit-penyakit lain, lapor agensi berita Kyodo.
Bagaimanapun, kekurangan pengetahuan dalam kalangan penderma dan kekurangan pengeluar menjadi penghalang kepada kemajuan program seumpama itu.
Aktiviti pendermaan rambut yang bermula di Amerika Syarikat pada 1990-an kini meningkat di Jepun dengan peningkatan kesedaran mengenai aktiviti sukarelawan itu.
“Memandangkan Jepun hanya mempunyai sebilangan kecil tukang gunting rambut dan pakar estetik yang mampu membuat rambut palsu perubatan menggunakan rambut manusia, pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan,” kata Setiausaha Agung Persatuan Latihan Kecantikan dan Tukang Gunting Kebajikan Kebangsaan di Aichi, Hitomi Iwaoka.
Organisasi itu bertindak sebagai penghubung antara orang yang sudi menderma rambut dan kanak-kanak yang memerlukan rambut palsu.
Penghasilan rambut palsu kebiasaannya disalurkan kepada pengeluar di negara luar. Ini menyebabkan kos menjadi lebih tinggi dan sukar dilaksanakan organisasi serta kemudahan dananya hanya bergantung daripada pendermaan wang.
Selain itu, kekurangan pengetahuan dalam kalangan penderma menyebabkan rambut yang lebih panjang untuk didermakan terpaksa dibuang.
Walaupun panjang rambut yang diderma perlu sekurang-kurangnya 31 sentimeter dan tidak terlalu rosak, terdapat juga kes di mana ia terlalu pendek atau terlalu rapuh dan patah apabila ditarik perlahan.
Rambut seperti itu tidak dapat digunakan, lantas menyebabkannya terpaksa dibuang. – Agensi