fbpx

Hijabbib inovasi tudung peguam wanita oleh UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tudung ini boleh digayakan dengan beberapa cara, sama ada di dalam prosiding mahkamah mahupun ketika berada di luar.

BAGI membantu dan memudahkan urusan harian peguam wanita Muslim, sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghasilkan satu inovasi tudung khusus dikenali sebagai Hijabbib.

Ia bagi memudahkan urusan mengendalikan prosiding mahkamah, selain tuntutan harian seperti individu normal lain.

Hijabbib merupakan gabungan tudung bersekali dengan bib yang perlu dipakai oleh peguam wanita sewaktu prosiding mahkamah.

Ia direka khusus bagi mengatasi masalah keciciran bib yang wajib dipakai ketika menghadiri prosiding mahkamah yang sering berlaku dalam kalangan peguam wanita Muslim di negara ini.

Diketuai Dr. Saidatul Nadia Abd. Aziz bersama Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail dan Dr. Mohd. Zamre Mohd. Zahir daripada Fakulti Undang-Undang, pasukan penyelidik ini telah menjalankan penyelidikan bermula tahun 2020 lagi.

Menurut Dr. Saidatul Nadia, menerusi penyelidikan tersebut, pihaknya memfokuskan faktor kaedah praktikal dan fungsi hijab semasa prosiding mahkamah.

“Pola yang digunakan adalah bersifat unik dan baharu bersesuaian dengan Hijabib.

“Hijabbib ini mempunyai inovasi dengan tiga kaedah pemakaian unik yang turut boleh digunakan di luar mahkamah.

“Ini kerana, ia dilengkapi dengan slot untuk menyembunyikan bib di lapisan luar, selain bahagian bib yang fleksibel dan boleh dilaras ke kiri atau kanan untuk digayakan sebagai ikatan,” katanya kepada K2.

Terangnya lanjut, material yang digunakan adalah jenis fabrik mudah gosok, sejuk dan berkualiti tinggi bersesuaian dengan keterampilan dan gaya hidup seorang peguam wanita Muslim yang perlu sentiasa bergerak pantas dengan kes-kes yang dikendalikan.

Pasukan penyelidik daripada Fakulti Undang-Undang UKM yang bertanggungjawab membangunkan jenama Hijabbib, gabungan hijab berserta bib untuk digunakan peguam wanita Muslim di negara ini.

Dalam pada itu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani berkata, dengan tercetusnya inovasi itu, ia diharapkan dapat memberi fleksibiliti dan praktikaliti kepada peguam wanita Muslim bagi memenuhi kod etika pemakaian di mahkamah.

“Inovasi Hijabbib juga amat membantu mengatasi masalah peguam tertinggal bib yang wajib dipakai semasa prosiding mahkamah.

“Saya dimaklumkan Hijabbib ini mempunyai ukuran tertentu dan mengikut piawaian profesyen guaman. Kajian asas dan kritis oleh kumpulan penyelidik juga turut memberikan keunikan kepada produk ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau begitu berbangga dengan hasil inovasi yang dilakukan itu.

“Saya berbangga kerana inovasi Hijabbib ini telah mendapat pengiktirafan apabila penyelidiknya telah diberikan Anugerah Khas Perintis Inovasi dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Myra®2022.

“Bukan itu sahaja, tambah membanggakan lagi, Hijabbib merupakan produk sulung Fakulti Undang-Undang dan selayaknya menerima Anugerah Kualiti Fakulti Undang-Undang bagi tahun 2022 di bawah kategori Inovasi.

“Pelancaran produk ini juga berjaya memperkasakan Kebitaraan i-Minda di bawah lembayung Teras UKM yang memperfokuskan kepada prakarsa inovasi bagi mencungkil dan menggilap bakat penyelidik ke arah pemantapan, pengembangan potensi dan kecemerlangan penyelidikan,” jelasnya.

Tidak pernah dicipta oleh mana-mana individu sebelum ini, produk penyelidikan dalam bidang sains sosial itu telah berjaya dipatenkan.

“Dengan adanya pelancaran produk Hijabbib ini sebagai harta intelek UKM, diharapkan ia dapat menyumbang ke arah meningkatkan sasaran produk UKM yang berjaya dikomersialkan.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Fakulti Undang-Undang dan penyelidik berserta ahli kumpulannya kerana berjaya menghasilkan produk yang akan berada di pasaran tidak lama lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI