BAGHDAD, IRAQ – Lebih 100 orang cedera dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di ibu kota Iraq, Baghdad, kelmarin, selepas penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan bagi membantah pencalonan Perdana Menteri baharu, Mohammed al-Sudani, lapor stesen penyiaran CNN.
Kumpulan tersebut merempuh masuk ke zon keselamatan ketat di Zon Hijau buat kali kedua pada minggu lalu.
Perhimpunan penyokong ulama Muqtada al-Sadr itu menceroboh kawasan yang menempatkan bangunan-bangunan kerajaan, sekali gus memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk meleraikan tunjuk perasaan.
Menurut Agensi Berita Negara Iraq (INA), penunjuk perasaan menceroboh bangunan Parlimen. Beberapa klip video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan orang ramai mengibar bendera Iraq dan berarak melalui pintu masuk keselamatan di Parlimen.
Sekurang-kurangnya 125 cedera termasuk 100 orang awam dan 25 anggota tentera, demikian menurut Kementerian Kesihatan Iraq.
Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Iraq (UNAMI) menyifatkan keadaan tersebut sebagai ‘amat membimbangkan’.
“Kewarasan akal dan kebijaksanaan adalah penting untuk mencegah keganasan. Semua peserta diharap bersurai bagi kepentingan seluruh rakyat Iraq,” kata UNAMI dalam kenyataan di Twitter.
Sementara itu, Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi dalam satu kenyataan di kaca televisyen tempatan kelmarin menggesa penunjuk perasaan agar kekal bertenang, bersabar dan rasional.
“Kita perlu bekerjasama untuk menghentikan tindakan mereka yang mencetuskan masalah ini, dan setiap orang perlu sedar bahawa api hasutan boleh ‘membakar’ setiap orang,” kata Mustafa.
Protes tersebut bermula selepas Mohammed dinamakan sebagai calon untuk mengetuai tampuk kepimpinan Iraq, Isnin lalu.
Pencalonan beliau dilakukan berikutan peletakan jawatan beramai-ramai dalam kalangan blok Muqtada, yang terdiri daripada 70 ahli Parlimen yang menarik diri sebagai protes ke atas krisis politik di Iraq.
Negara itu bergelut untuk membentuk kerajaan baharu sejak Pilihan Raya Parlimen dijalankan pada Oktober tahun lalu.
Muqtada menerusi pakatan gerakan Saeroun memenangi pilihan raya tersebut, namun sukar untuk beliau menubuhkan kerajaan baharu kerana enggan bekerjasama dengan wakil pihak lawan.
“Jika blok Sadrist yang masih kekal (dalam Parlimen) menjadi halangan untuk membentuk kerajaan, maka semua ahli Parlimen dalam blok tersebut dengan segala hormatnya diminta meletak jawatan,” kata Muqtada dalam ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan Jun lalu.
Muqtada dan penyokongnya dilaporkan menentang pencalonan Mohammed sebagai Perdana Menteri kerana percaya beliau mempunyai hubungan rapat dengan Iran, sedangkan ulama berkenaan menentang keras negara tersebut dan Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, penunjuk perasaan yang ‘menawan’ Parlimen semalam berikrar untuk tidak berganjak dari bangunan tersebut, sekali gus memberi amaran bagi krisis berpanjangan.
“Penunjuk perasaan mengumumkan akan terus berada di sini sehingga makluman selanjutnya yang akan diberitahu kelak,” kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan ringkas kepada pemberita.
Beberapa gambar menunjukkan mereka memenuhi dewan Parlimen, duduk di kerusi-kerusi ahli Parlimen serta merakam gambar.
Di luar bangunan, penunjuk perasaan mendirikan khemah untuk berehat, dengan sebilangan sukarelawan membawa makanan panas dan air untuk orang ramai.
Ada antaranya yang menyalakan api di pekarangan Parlimen untuk memanaskan air, manakala beberapa individu dilihat menjual rokok. – AFP/AGENSI