SHAH ALAM – Penyatuan dan keikhlasan dalam politik menjadi tunjang utama Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bangkit merampas semula negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasnya, Tan Sri Noh Omar berkata, parti-parti komponen berpeluang cerah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya mempunyai dua asas itu.
Kata beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, menjadi pembangkang di Selangor disifatkan amat pahit dan cukuplah ia hanya sekali.
“Kini, kita mahu bangkit semula dan insya-Allah ada peluang cerah untuk memenangi semula pilihan raya umum nanti.
“Namun, kita kena ikhlas dan bersatu dalam berpolitik bagi memastikan negeri ini kembali ditadbir oleh BN,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor di sini, hari ini.
Jelas Noh, contoh keikhlasan itu turut dibuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pernah menjadi Ketua Pembangkang Selangor sebelum ini.
“Ketika menjadi pembangkang, kita berbincang dan bersetuju melantik beliau menjadi ketua ketika itu.
“Beliau memang bukan calang-calang pemimpin dan siapa sangka ketua pembangkang kini menjadi seorang Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta akar umbi menolak tanggapan wujudnya dua kluster iaitu Putrajaya dan PWTC.
“Tiada pun kluster ini dan matlamat kita hanya satu iaitu memenangi PRU-15 akan datang dan jentera kita sudah bersiap sedia menghadapinya termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang digerakkan setiap masa sama ada siang atau malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE