fbpx

Pemandu emosi lebih ragut nyawa pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kemalangan di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU kemalangan jalan raya dilihat semakin membimbangkan apabila ada sahaja berita kemalangan yang dilaporkan berlaku setiap hari di seluruh negara.

Kenderaan lebih besar seperti trak pikap atau pacuan empat roda serta lori dan treler yang semakin kerap terlibat dalam kemalangan membuatkan kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal lebih berisiko.

Seperti baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemala­ngan di Lebuh Raya Timur Barat, Jeli-Gerik.

Berikutan itu, masalah ini seharusnya dipandang serius ekoran banyak nyawa terkorban akibat kecuaian pemandu lain yang tidak bertimbang rasa dan hanya mementingkan diri ­sendiri.

Meskipun pelbagai langkah dan usaha dilaksanakan sebelum ini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun masalah sama tetap timbul seperti cen­dawan tumbuh selepas hujan.

Ini kerana, kemalangan di Malaysia kebiasaannya berpunca da­ripada sikap dan emosi pemandu yang cuai seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, serta berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Apabila terlibat kemalangan pula, ada sahaja alasan yang diberikan oleh golongan terbabit bagi melarikan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang sekali gus membuka ruang kepada individu lain untuk me­lakukan perkara sama.

Menurut firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi, Malaysia merupakan antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu, pada kedudukan kelapan dengan skor keselamatan dicatatkan hanya 5.63 daripada 10.

Kenyataan tersebut seperti memberi gambaran kes nahas jalan raya di negara ini sudah seperti lumrah, menimbulkan persoalan sejauh mana sistem pembelajaran memandu dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia berupaya melahirkan pemandu berhemah.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan raya Kebangsaan, Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, emosi dan sikap pemandu boleh dihapuskan menerusi advokasi dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Advokasi pemanduan berhemah perlu ditingkatkan memandangkan punca utama kemalangan di negara ini datang daripada sikap dan emosi ­pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi, program advokasi melibatkan teknik memandu dan pemanduan berhemah perlu di­terapkan di dalam sistem ­sedia ada supaya pihak berkaitan dapat memantau dan melakukan pencegahan sebelum kemala­ngan berlaku.

“Selain itu, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilaksanakan lebih tegas bagi me­ningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Hisham berkata, masalah ini sebenarnya boleh disifatkan seperti barah dan sedang merebak menjadi lebih ­teruk jika tidak diatasi segera dan hanya akan menjadi ikutan bagi generasi akan datang.

Justeru, diharapkan setiap lapisan masyarakat dapat memainkan peranan mahupun yang muda atau lebih berusia dengan mengamalkan sikap yang lebih baik serta bertolak ansur semasa memandu.

Tindakan tersebut bukan sahaja boleh mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, malah turut menyelamatkan nyawa daripada terkorban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI