LEICESTER – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya selepas menewaskan Manchester City 3-1 pada aksi Perisai Komuniti di Stadium King Power awal pagi semalam.
Tiga gol menerusi jaringan Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah dan Darwin Nunez sudah cukup untuk memastikan The Reds mendapat tonik terbaik menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermula minggu depan.
Menerusi aksi yang ditampilkan pada perlawanan tersebut, Klopp mengakui, skuad kendaliannya sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kempen 2022/23 yang dijangka lebih mencabar.
“Saya gembira dengan aksi yang ditampilkan oleh semua pemain yang berada dalam kesebelasan utama dan kami bermula sangat baik. Selain itu, pemain-pemain gantian juga memberikan impak cukup besar.
“Aksi seperti inilah yang saya mahu lihat daripada semua pemain dan ia berikan kami harapan untuk musim baharu. Apa yang penting sekarang adalah semua pemain sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Meskipun turun tanpa beberapa pemain utama termasuk penjaga gol, Alisson Becker serta penyerang, Diogo Jota, namun The Reds membuktikan pasukan itu memiliki ramai pemain yang mampu menggalas tugas tersebut.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk lihat apa yang kami mampu lakukan pada musim baharu nanti. Sebab itulah kami perlukan aksi pramusim kerana ia sudah diterjemah oleh pemain-pemain pada hari ini (semalam),” ujar Klopp. – AGENSI