SHAH ALAM – Semua ahli Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menyerang satu sama lain ekoran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin dekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk menjadi lidah pembangkang kerana terpedaya dan terpengaruh dengan menyebarkan persepsi negatif kepada rakyat.
Katanya, semua seharusnya membawa imej BN yang bersih dan pemimpin yang mampu membawa negara ke puncak kecemerlangan.
“Pembangkang kerjanya membangkang. Saya tidak masalah atau mempertikaikan pembangkang.
“Namun, kita dalam BN terperangkap dengan persepsi dibawa pembangkang. Bukan sahaja kita percaya, kadang-kadang kita yang membawa cerita pembangkang dan menyebarkannya kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Konvokesyen BN Selangor di Pusat Konvokesyen Setia City di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, kajian sikap masyarakat perlu dilakukan semua komponen BN dalam menilai bukan sahaja kekuatan kita malah pembangkang.
Ismail Sabri menambah, kesepakatan dan perpaduan dalam BN juga perlu diperkukuhkan sebelum PRU diadakan di negara ini.
“Confirm (pasti) PRU daripada pemilihan parti (UMNO). Tarikh PRU tidak perlu (dikatakan) sama ada tahun ini atau tahun depan.
“Saya risau yang boleh bertanding seorang dan yang layak semua. Kalau merajuk ok, tidak keluar rumah tiga empat hari sebab ubati hati.
“Namun, jangan sabotaj sebab yang bertanding bukan individu tetapi parti. Cukuplah tembak semasa sendiri kerana pada pilihan raya bukan sesama sendiri, yang bertanding sebaliknya musuh daripada parti lain ,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE