UBON RATCHATHANI – Skuad badminton negara menutup tirai Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 sebagai juara keseluruhan dengan empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Kejayaan itu hadir selepas anak-anak buah Datuk Rashid Sidek berjaya memungut tambahan dua emas, dua perak dan satu gangsa pada saingan hari terakhir di Dewan Badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat hari ini.
Emas pertama hadir melalui perseorangan lelaki, Faiz Rozain yang menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Radi Zafran Ferary 21-13 21-8.
“Sasaran saya untuk raih dua emas pada penampilan pertama AUG pertama akhirnya tercapai. Dalam perlawanan akhir saya berikan segala-galanya dan dapat membaca setiap pergerakan lawan.
“Saya banyak terima tunjuk ajar di bawah kendalian jurulatih. Pengalaman dia juga membantu saya kali ini,” kata penuntut dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Emas kedua hari ini disumbangkan oleh beregu wanita, Teoh Lexuan-Yap Rui Chen selepas menewaskan rakan senegara, Desiree Siow-Ng Qi Xuan 18-21, 22-20, 21-11.
Hasrat negara untuk menambah koleksi emas menerusi acara beregu lelaki dan beregu campuran tidak kesampaian apabila kedua-duanya tewas kepada pasangan Indonesia.
Gandingan Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin tewas 13-21, 18-21 kepada Nendi Novatino-Reza Dwicahya, manakala Kok Xian Tan-Desiree juga tumbang di tangan Dwiki Rafian Restu-Elizabeth Jovita 20-22, 21-23.
Sebagai rekod, dua pingat emas dimenangi kem badminton negara sebelum ini menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita. – KOSMO! ONLINE