PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat Malaysia agar menyematkan semangat juang para pahlawan dan kecintaan kepada tanah air dengan menjadi pewaris negara yang penuh bertanggungjawab terhadap ibu pertiwi.
Ismail Sabri berkata, keamanan yang dikecapi Malaysia hari ini adalah hasil daripada pengorbanan para pahlawan yang berjuang demi mempertahankan tanah air yang berdaulat.
“Perjuangan mereka begitu besar sehingga sanggup mengorbankan nyawa ke titisan darah terakhir bagi tanah air yang tercinta.
“Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, marilah kita sematkan semangat juang para pahlawan dan kecintaan kita dengan menjadi pewaris negara yang penuh bertanggungjawab terhadap ibu pertiwi,” katanya melalui perkongsian di laman media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, tanggal 31 Julai, negara menyambut Hari Pahlawan bagi memperingati perajurit negara dan mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.
“Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2022,” ujar beliau.- KOSMO! ONLINE