PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan hujan di beberapa negeri di Semenanjung dan kawasan tertentu di Sabah pada pagi ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman web memaklumkan, hujan berlaku di kawasan pantai di Perak serta beberapa tempat di Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Seterusnya di Sabah melibatkan satu dan dua tempat di Tawau,” katanya hari ini.
Bagi ramalan cuaca sebelah petang, MetMalaysia menjangkakan ribut petir iaitu satu dua tempat di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.
“Ia juga dijangka berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman melibatkan Perlis, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan selain hujan di beberapa tempat di pedalaman Perak.
“Bagi Sabah pula, ribut petir dijangka di satu dua tempat melibatkan pedalaman, pantai barat, Tawau, Sandakan dan Kudat manakala, Sarawak pula di beberapa kawasan di Kapit, Miri dan Limbang,” katanya. -KOSMO! ONLINE