LONDON – Jumlah pelajar Universiti Oxford di England yang disiasat kerana menipu meningkat dua kali ganda sepanjang tempoh pandemik Covid-19, lapor akhbar Metro News UK kelmarin.
Perkara tersebut berlaku semasa perintah berkurung koronavirus dilaksanakan di England dan sesi pembelajaran berlaku secara online.
Bilangan kes meningkat daripada 35 pada sesi 2018/2019 kepada 69 pada 2019/20220 dan seterusnya 77 pada 2020/2021.
Sejak pandemik berakhir, jumlah kes penipuan kembali menurun kepada 32 pada 2021/2022.
Universiti Oxford menyatakan, angka tersebut adalah ‘peratusan kecil’ daripada jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan.
Sebagai contoh, pada sesi 2020/2021, terdapat 77 siasatan daripada keseluruhan 55,000 calon yang menduduki peperiksaan.
Lapan daripada kes pada tahun berkenaan dilabel ‘salah laku’ dan 19 yang lain dirujuk ke lembaga peperiksaan berkaitan, menurut Oxford Mail.
Jabatan Pengajian Sains Sosial universiti itu mencatatkan jumlah kes penipuan paling tinggi iaitu 146 kes, manakala Jabatan Pengajian Sains Perubatan mencatatkan kes terendah sebanyak 19 kes.
“Pada tahun akademik 2021/2022, majoriti peperiksaan Oxford diadakan secara tertutup dengan kehadiran pelajar.
“Pihak universiti komited kepada standard penilaian tertinggi tanpa mengira format peperiksaan sama ada hadir sendiri atau secara online,” kata seorang jurucakap Universiti Oxford. – Agensi