PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di utara dan Pantai Timur Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca buruk itu dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah iaitu Sik dan Baling.
“Kelantan pula melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu MembabitkanBesut, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Bagi di Sarawak, amaran sama turut dikeluarkan di Kuching (Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Kapit (Song dan Kapit),” katanya.
Sementara itu, hujan lebat turut diramalkan melanda Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Tongod dan Sandakan) di Sabah.
Cuaca ribut petir dan hujan lebat itu dijangkakan berlarutan sehingga awal malam nanti.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE