fbpx

Sepanyol, Brazil catat kematian pertama cacar monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai berjalan di kejiranan Chelsea di Manhattan, pusat komuniti LGBT di New York kelmarin. - AFP

MADRID – Sepanyol dan Brazil masing-masing melaporkan kematian pertama pesakit cacar monyet kelmarin sekali gus korban pertama wabak berkenaan di luar Benua Afrika.

Sepanyol menjadi antara negara paling teruk terjejas di dunia dengan seramai 4,298 orang dijangkiti cacar monyet, demikian menurut Pusat Kecemasan dan Koordinasi Amaran Kementerian Kesihatan.

“Daripada 3,750 pesakit cacar monyet yang maklumat mereka kami peroleh, 120 kes dimasukkan ke hospital dan satu kes meninggal dunia,” kata pusat itu dalam satu laporan.

Di Brazil, seorang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia akibat cacar monyet, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.

Lelaki yang dilaporkan media tempatan sebagai mempunyai masalah imuniti itu mati pada Khamis lalu di ibu negeri Minas Gerais, Horizonte.

“Adalah penting untuk menyatakan bahawa pesakit mempunyai masalah komorbid serius supaya orang ramai tidak panik. Angka kematian akibat cacar monyet adalah sangat rendah,” kata Setiausaha Kesihatan Minas Gerais, Fabio Baccheretti sambil menambah, pesakit itu menjalani rawatan kanser.

Kementerian Kesihatan Brazil merekodkan hampir 1,000 kes cacar monyet, kebanyakannya di negeri Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Simptom awal cacar monyet termasuk demam panas, bengkak kelenjar dan bintil seperti penyakit cacar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global pada Sabtu minggu lalu.

Menurut WHO, lebih 18,000 kes dikesan di seluruh dunia di luar Afrika sejak awal Mei lalu.

Penyakit itu dikesan di 78 buah negara dengan 70 peratus kes direkodkan di Eropah dan 25 peratus lagi di rantau Amerika.

Berikutan kes cacar monyet melonjak di seluruh dunia, WHO meminta golongan gay yang paling teruk terjejas supaya mengehadkan pasangan seks mereka. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI