fbpx

Amaran ‘jangan main api’ Xi Jinping kepada Joe Biden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANGGILAN telefon antara dua presiden itu mempunyai agenda yang lebih meluas termasuk perbincangan mengenai perang Russia di Ukraine. - AFP

BEIJING – Presiden China, Xi Jinping memberi amaran kepada rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden supaya tidak ‘bermain dengan api’ berhubung isu Taiwan, lapor akhbar Saudi Gazette.

Amaran Jinping dinyatakan menerusi panggilan telefon kelima selama dua jam antara kedua-dua pemimpin tersebut ketika Beijing semakin bimbang Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi akan melakukan lawatan ke pulau yang dituntut Beijing itu.

Menurut media China, Jinping memberitahu Biden bahawa AS harus mematuhi ‘prinsip satu China’ selain menegaskan bahawa Beijing akan menentang kemerdekaan Taiwan serta campur tangan kuasa luar.

China memberi amaran keras mengenai kesan buruk sekiranya Pelosi melawat Taiwan dan menyatakan, AS berdepan peningkatan ancaman ketenteraan dan ekonomi dari China.

Lawatan Pelosi sekiranya berlaku, akan dianggap sebagai sokongan terbuka AS kepada Taiwan.

“Mereka yang bermain api hanya akan terbakar. Kami berharap AS dapat melihat isu ini dengan jelas,” lapor media China yang memetik Jinping sebagai memberitahu Biden.

China memberikan isyarat kepada tindak balas yang mungkin diambil jika Pelosi meneruskan lawatan itu.

Menurut pegawai-pegawai AS, panggilan telefon itu turut membincangkan agenda lebih meluas termasuk perang Russia di Ukraine.

Pegawai-pegawai AS berkata, mereka melihat dialog tersebut sebagai peluang untuk menguruskan persaingan antara dua ekonomi terbesar dunia tersebut selepas hubungan Washington-Beijing semakin tegang berhubung isu Taiwan.

AS tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Taiwan dan sebelum ini Washington akur kepada ‘dasar satu China’ yang mengiktiraf Beijing dan bukannya Taipei secara diplomatik.

Akan tetapi, berdasarkan perjanjian Washington-Taipei, AS perlu menyediakan kaedah untuk Taiwan mempertahankan diri daripada diserang. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI