TUAH Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali lagi menjadi sandaran Selangor untuk menghadirkan kebangkitan ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan malam ini.
Sepanjang enam perlawanan Liga Super, Gergasi Merah nyata terlalu kebal di gelanggang dengan meraih empat kemenangan dan dua kali seri, malah venue itu turut menghadirkan tuah dalam saingan Piala FA.
Pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner menegaskan pemain tidak boleh terus dipalit episod duka ketika tewas mengejut kepada Sri Pahang di Stadium Darul Makmur Rabu lalu.
“Apabila kami tidak mampu menghasilkan jaringan, sudah pasti kami akan dihukum dan inilah yang berlaku ketika aksi menentang Sri Pahang.
“Memang ada kalanya perkara ini boleh berlaku, tetapi pemain harus lebih bersedia untuk menyudahkan setiap peluang dengan lebih baik,” katanya.
Di atas kertas, kelebihan mungkin lebih berpihak kepada pelawat, namun skuad Hoben Jang Hoben kini turut berada dalam fasa ‘eksperimen’ selepas terpaksa berehat hampir sebulan.
Walaupun menang 2-1 ke atas Terengganu FC, Rabu lalu, pengendali Negeri Sembilan, K. Devan turut akui masih tercari-cari ramuan terbaik untuk kembali meletakkan pasukan pada tahap terbaik.
“Apabila lama tidak beraksi, ia memang beri kesukaran, tetapi pemain kekal bekerja keras,” katanya.