fbpx

Will Smith minta maaf secara terbuka kepada Chris Rock

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Smith memuat naik video permohonan maaf di platform media sosialnya pada pagi Jumaat. - Economic Times

BANDAR RAYA NEW YORK – Pelakon Hollywood, Will Smith akhirnya membuat permohonan maaf  terbuka kepada pelawak, Chris Rock berhubung insiden tamparan semasa Anugerah Academy pada Mac lalu, lapor akhbar The Washington Post semalam.

Sebuah video permohonan maaf telah dimuat naik di platform Instagram Smith yang menyatakan kekesalan kerana bertindak di luar kawalan.

“Perkara  paling menakutkan saya adalah mengecewakan orang ramai. Saya tidak suka apabila orang hampa dengan apa yang saya lakukan, ia adalah sesuatu yang menyakitkan,” ujar Smith dalam klip videonya.

Smith turut menjawab persoalan yang sering diajukan kepadanya mengenai kejadian tersebut dalam klip video pendek itu yang berdurasi enam minit.

“Kepada yang tertanya-tanya, Jada (isteri Smith) tidak menyuruh saya menampar Chris, ia tindakan spontan daripada saya.

“Alasan mengapa saya tidak terus memohon maaf kepada Chris adalah kerana saya sendiri tergamam dengan apa yang berlaku,” jelas Smith.

Smith menawarkan permohonan maaf di media sosial sejurus selepas acara itu tetapi Rock hanya mendiamkan diri, walaupun dia menyentuh secara ringkas mengenai perkara itu beberapa minggu kemudian.

“Saya merancang bagaimana mahu mengendalikan majlis itu seminggu sebelum ia berlangsung kerana Anugerah Academy adalah acara berprestij.

“Hingga kini, saya masih memproses apa yang berlaku. Pada satu ketika, apabila sudah bersedia, saya akan bercakap mengenainya,” ujar Rock pula.

Menurut Smith, Rock masih belum bersedia untuk permohonan maaf secara bersemuka. 

“Saya telah menghubungi Rock secara peribadi dan menerima mesej dia tidak bersedia untuk bercakap dan bila tiba masanya, Rock akan menghubungi saya nanti.

 “Jadi saya mahu beritahu di sini, Chris Rock, saya minta maaf kepada awak. Tingkah laku saya tidak boleh diterima dan saya berada di sini apabila anda bersedia untuk bercakap tentangnya,” tutur Smith.

Pada 28 Mac lalu, Smith mencetuskan kontroversi apabila  menampar Rock di hadapan penonton kerana pelawak itu berjenakan mengenai Jada yang tampil dengan gaya rambut botak disebabkan penyakit alopecia.

Perbuatan Smith menyebabkan dia digantung daripada  Anugerah Academy selama 10 tahun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI