KUANTAN – Sumbangan besar Mat Kilau atau nama sebenarnya Allahyarham Muhammad Khatib Rasu Abdul Salam mendapat penghargaan apabila beliau dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022.
Anugerah itu disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah kepada waris pahlawan itu, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53, yang juga cucunya.
Mohd Alhamadi berkata, anugerah itu amat bermakna kepadanya dan seluruh masyarakat Melayu seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan menegakkan syiar Islam.
“Anugerah ini dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan tokoh ini dalam menegakkan Islam di negeri ini.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pemangku Raja Pahang atas pemilihan Mat Kilau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.