fbpx

Lapan penyangak dicekup seleweng diesel RM 174,720

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA peralatan dan minyak diesel yang disyaki diseludup dirampas dalam serbuan di kawasan perindustrian di Taman Lagenda Putra, Kulai, Johor semalam.

KULAI – Cubaan lapan individu warga tempatan untuk menyeludup minyak diesel bersubsidi bernilai RM174,720 gagal apabila kesemua mereka ditahan polis di kawasan perindustrian Taman Lagenda Putra, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan pada pukul 3 petang.

Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 52 tahun.

“Pegawai dan anggota polis daripada Task Force Kontraban Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah menjalankan serbuan di kawasan berkenaan yang dipercayai menjalankan aktiviti penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi.

“Dalam serbuan itu, lapan individu warga tempatan ditahan selain pelbagai barangan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Beng Yeow, hasil semakan mendapati kesemua lapan suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua tangkapan beserta barangan rampasan diserahkan kepada Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Polis Kulai meminta kerjasama awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah untuk tampil dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada balai polis berhampiran,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI