fbpx

Silat Dunia: Al Jufferi ketuai empat pesilat ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Al Jufferi Jamari (kanan) menahan asakan Alvin T. Campos pada suku akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di MITC, Melaka. /FOTO AMRAN MULUP

MELAKA – Juara dunia tiga kali, Mohd. Al Jufferi Jamari mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 selepas berdepan tentangan sengit pada suku akhir di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut mara ialah juara bertahan, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang muncul satu-satu pesilat wanita negara melangkah ke separuh akhir diiringi Mohd. Fauzi Khalid, Mohamad Khairi Azhar dan Muhammad Robial Sobri.

Begitupun, kontroversi berlaku membabitkan seorang lagi pesilat negara, Zulfazly Zulfakar yang tewas 19-23 kepada Abdul Raazaq Abdul Rashid dari Singapura bagi Kelas E.

Kontinjen negara mempertikaikan keputusan memberi kemenangan kepada atlet Singapura itu kerana mendakwa berlaku kesilapan sewaktu pemberian mata oleh wasit yang bertugas di sepanjang tiga pusingan berlangsung.

Sehubungan itu, Pengurus Pasukan, Datuk Mohd. Arpan Shaari mengemukakan bantahan atas keputusan perlawanan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Al Jufferi menepati ramalan biarpun berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Alvin T. Campos dari Filipina dengan keputusan 59-41 bagi Kelas F.

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu berkata, beliau hampir hilang sabar sewaktu berdepan Campos yang sengaja menyerang kecederaan bahu kanannya, dialami sewaktu Sukan SEA Hanoi tahun lalu.

“Mujurlah saya dapat mengawal perasaan marah, atas nasihat pengurus dan jurulatih setelah beberapa kali pesilat dari Filipina itu melanggar peraturan melakukan terjahan yang tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat aksi.

Bagi separuh akhir esok, Mohd. Al Jufferi akan berdepan pesilat dari Algeria, Zetout Abdmelk yang menewaskan Muhammad Ammar dari Pakistan dengan catatan 55-11.

Sementara itu, Siti Rahmah yang menjuarai Kejuaraan Dunia 2016 di Bali, Indonesia melangkah mudah ke separuh akhir dalam perlawanan memihak kepada Malaysia.

Dia diberikan kemenangan percuma selepas lawannya Sudha Chauhan dari India menarik diri ketika aksi masuk ke pusingan ketiga, selepas pesilat berasal dari Terengganu itu mendahului 40-1.

Di separuh akhir, Siti Rahimah akan bertemu pesilat Singapura, Nur Shaqira Sheik Alaudin.

Mohd. Fauzi yang menang 47-3 bagi Kelas G ke atas Alvin Lewis dari Amerika Syarikat (AS) akan berdepan Suthat Bunchit dari Thailand yang menewaskan Joash M.Cantoria dari Filipina, 62-14.

Sementara itu, Mohamad Khairi yang bertanding bagi Kelas B menang 23-2 ke atas Pankaj Gahlot dari India. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI