MELAKA – Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) telah menamatkan perjanjian jual beli tanah berjumlah RM21 juta membabitkan Lot PT8534 di Bandar Jasin Bestari dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, perkara itu diputuskan oleh Lembaga Pengarah pada awal tahun ini.
Menurutnya, susulan penamatan itu, tanah tersebut akan dibuka kepada pihak lain yang berminat untuk membeli dan memajukannya.
“Setakat ini Pertam belum lagi mengiklankan tanah tersebut, namun sudah terdapat beberapa cadangan pembangunan dihantar kepada Pertam termasuklah membina pembangunan bercampur dan universiti atau pusat pengajian tinggi.
“Kita akan perhalusi cadangan-cadangan ini dan bawa ke dalam mesyuarat Lembaga Pengarah bagi memilih pembangunan terbaik untuk kawasan tersebut dan kepada Pertam sendiri,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penemuan audit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 yang mendapati, terdapat tunggakan hasil agensi sehingga 31 Disember 2020 yang mana Pertam masih belum menerima hasil jualan tanah di Lot PT8534 berjumlah RM21 juta.
Sementara itu, mengenai laporan projek usahasama Pertam dengan syarikat swasta yang tidak memuaskan, Mohd. Ridhwan memberitahu, pihaknya sudah meneliti perkara itu dengan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, projek yang tidak bergerak telah ditamatkan manakala pihak yang terjejas disebabkan Covid-19 sudah memohon perbincangan semula. -KOSMO! ONLINE