GEORGE TOWN – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai dekat sini adalah normal dan tidak terjejas walaupun berlaku kejadian kepala air di Baling, Kedah semalam.
Menurut kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), berikutan kejadian tersebut, PBAPP menjalankan pemantauan terhadap kualiti air mentah yang berterusan di Sungai Muda sebagai langkah waspada.
“Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, kapasiti pengeluaran di LRA Sungai Dua berada pada tahap maksimum.
“Hasil pemantauan PBAPP juga mendapati tahap kekeruhan air mentah telah stabil dan situasi kembali normal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, pada pukul 11 pagi tadi, PBAPP mengeluarkan notis waspada kepada pengguna di Facebook selepas mendapati paras kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang (Sungai Muda) mencecah Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) 261.
Ini kemungkinan berpunca daripada laporan banjir kedua di Baling seperti dilaporkan pelbagai media.
Kenyataan itu berkata, NTU di muka sauk Lahar Tiang telah turun kepada 228 dan notis waspada yang dikeluarkan oleh PBAPP kini ditamatkan.
“Sehingga kini, operasi di LRA Sungai Dua adalah normal dan tidak terjejas. Justeru itu, pengguna pengguna air tidak perlu bimbang dan untuk aduan dan maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE