PETALING JAYA – Sebanyak 5.6 juta mata ganjaran PLUSMiles telah dimenangi oleh 560 pelanggan RFID sempena kempen Hari-Hari RFID anjuran Plus Malaysia Berhad (Plus).
Plus melalui satu kenyataan berkata, kesemua 560 pelanggan RFID tersebut telah memenangi 10,000 mata ganjaran PLUSMiles setiap seorang yang boleh ditebus dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS.
Tambah Plus, setiap pemenang juga mempunyai pilihan untuk menebus baucar tunai bernilai RM50 daripada Mydin, Lazada, Shopee, Kad Hadiah Petronas, Starbucks, eWallet Touch ‘n Go dan sebagainya. Penebusan mata ganjaran menerusi Aplikasi PLUS atau portal PLUSMiles di https://redeem.plusmiles.com.my/catalog.
“Berlangsung selama lapan minggu, kempen yang bermula 8 April sehingga 2 Jun 2022 lalu telah memberi ganjaran kepada 70 pelanggan lebuh raya kendalian PLUS yang bertuah setiap minggu dan menggunakan RFID sebagai mod pembayaran tol.
“Kempen ini merupakan penghargaan pihak PLUS terhadap sokongan pelanggan yang memilih penggunaan RFID dan bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan lagi beralih kepada mod pembayaran itu sebagai pilihan selain daripada kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, bagi salah seorang pemenang Ong Chen Sing berkata, dia menggunakan RFID setiap hari untuk ke tempat kerja dan begitu teruja apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang mingguan kempen ‘Hari-Hari RFID’.
“Sejak menggunakan RFID, saya tidak perlu lagi bersusah-payah untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go saya. Kini, perjalanan saya di lorong tol lebih mudah selagi baki e-Wallet saya mencukupi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PLUS kerana menganjurkan kempen ini,” katanya.
RFID membolehkan pelanggan menikmati perjalanan tanpa sentuh yang lebih mudah bertepatan dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh dan tanpa tunai melalui e-Dompet.
Sejak dilancarkan pada 15 Januari 2022, mod pembayaran itu telah mencatat kadar penggunaan yang konsisten dan telah merekodkan kira-kira sejuta pengguna RFID di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE.