fbpx

Warga emas menangis terima Mykad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alliamah (kiri) sebak ketika menerima kad pengenalan (Mykad) dari Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Dato' Ruslin Jusoh (kanan), di Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, disini, harini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Penantian selama lebih 40 tahun buat seorang warga emas yang berasal Liberty Wood, Estate Kulim, Kedah untuk memiliki kad pengenalan (Mykad) akhirnya berakhir dengan berita gembira.

R. Alliamah, 64, yang merupakan ibu kepada tujuh orang anak menerima Mykad (Daftar Lewat Kad Pengenalan) itu daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh dalam satu majlis yang diadakan di JPN Pulau Pinang, Jalan Anson di sini hari ini.

Alliamah berkata, dia tidak dapat memperoleh bantuan atau apa-apa keistimewaan sebagai warganegara Malaysia, malah dia juga tidak pernah mengundi dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU) disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan diri.

”Ketika saya kecil berlaku kebakaran di rumah yang memusnahkan segala dokumen penting yang diperlukan untuk membuat kad pengenalan.

”Hidup saya juga susah sejak kecil, saya telah berusaha untuk membuat kad pengenalan sejak berusia 20 tahun lagi, namun akhirnya saya dapat memperoleh Mykad yang sah pada usia 64 tahun,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, menurut anak lelaki Alliamah, Mohd. Faizal Abdullah, 45, mendiang bapanya, S. Sahar Segaran yang telah meninggal dunia pada usia 39 tahun juga telah melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan Mykad yang sah untuk ibunya.

”Sebelum ini di rumah kami di Kedah, ada dokumen-dokumen yang saya pasti bapa saya kumpul untuk urusan mendapatkan Mykad untuk ibu, namun dokumen ini telah musnah.

“Kami tujuh beradik juga telah berjumpa dengan pelbagai pihak termasuk wakil-wakil parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya namun masih gagal peroleh Mykad untuk ibu kerana kami tidak jumpa saluran yang betul,” katanya.

Beritahunya, akhirnya pada Disember tahun lalu, dia telah berjumpa dengan pegawai-pegawai JPN yang dapat membantu ibunya mendapatkan Mykad dan dalam tempoh enam bulan sahaja ibunya berjaya memperoleh Mykad.

”Ibu telah melalui pelbagai kesukaran kerana dia tiada Mykad walaupun dilahirkan sebagai warganegara Malaysia, dia juga hidup susah untuk membesarkan kami kerana tiada Mykad. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan JPN yang memudahkan urusan kami, dan membantu ibu saya mendapatkan Mykad,” jelasnya.

Sementara itu, Ruslin berkata, JPN Pulau Pinang telah menjalankan ujian DNA di Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk membuktikan hubungan keluarga antara Alliamah dan adik-adiknya.

“Akhirnya berdasarkan keterangan temuduga, carian rekod kelahiran, ujian DNA dan dokumen sokongan daripada adik-adik Alliamah yang sah dan teratur , Panel Jawatankuasa Permohonan Daftar Lewat Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara telah meluluskan pendaftaran kelahiran beliau pada 23 Mac lalu.

“Sijil Kelahiran (Daftar Lewat Kelahiran) bertaraf Warganegara Malaysia telah dikeluarkan dan diserahkan kepada beliau pada 24 Mac dan Alliamah telah membuat permohonan mendapatkan Mykad pada 31 Mac lalu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI