fbpx

Mahkamah: Palsu dokumen Tas-Covid, bekas pengarah MIDF didenda RM85,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vijaya Kumar (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Akibat menggunakan dokumen pembayaran boucar palsu, bagi program Tamil Schools Post Covid-19 Assistance (Tas-Covid), seorang bekas Pengarah Malaysian Intellect Development Foundation (MIDF) didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Suzana Hussain menjatuhkan hukuman denda itu terhadap S.S Vijaya Kumar, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Vijaya didakwa telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Baucar Pembayaran MIDF berjumlah RM75,000, bertarikh 24 November 2020 kepada sebuah syarikat bagi pembayaran pensanitasi tangan, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), Kementerian Perpaduan Negara, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 2 Julai 2021.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukaman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar tidak dipenjarakan dan diberikan denda dalam kadar yang minima kerana kesal dengan perbuatan yang dilakukan.

“Walaupun saya melakukan perkara ini atas arahan seseorang, tapi saya malu dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat secara umumnya. Saya telah beri semua butiran program mengenai program Tas-Covid kepada pihak berkuasa dan tiada transaksi kewangan masuk ke akaun bank saya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, A Kalaivani memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain mengambil kira kepentingan awam.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyediakan dokumen sokongan palsu iaitu baucar bayaran MIDF dalam laporan akhir kepada Mitra bagi perbelanjaan program Tas-Covid.

Hasil siasatan mendapati syarikat yang dinamakan dalam baucar bayaran tersebut tidak membuat pembekalan pensanitasi tangan bagi program itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI