SHAH ALAM – Penggunaan dron dan keberadaan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dipertingkatkan bagi mencegah kekerapan pencemaran di Sungai Chandong, Sungai Tengkorak dan Sungai Udang Telok.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan JAS melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan di sekitar kawasan tiga sungai di Klang itu bagi menyasarkan aktiviti perkilangan yang menghasilkan efluen perindustrian dan buangan terjadual.
“Berikutan kekerapan kes pencemaran yang dilaporkan, keberadaan anggota penguatkuasa JAS ditingkatkan menerusi rondaan harian dan hujung minggu di kawasan perindustrian.
“Pemantauan di lokasi-lokasi ‘hotspot’ pencemaran turut dilaksanakan dengan menggunakan dron,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Azmizam Zaman Huri(PH-Pelabuhan Klang) berhubung tindakan kerajaan negeri untuk mencegah kejadian pencemaran sungai yang sering kali berlaku di tiga sungai itu dan kesannya terhadap sistem ekologi serta alam sekitar.
Jelas Loy Sian, LUAS memperkenalkan dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP) bagi mengurangkan masalah pencemaran akibat aktiviti perindustrian dan meningkatkan kualiti sumber air negeri.
“Selain itu, kerajaan negeri telah mula mengawal jenis industri yang dibenarkan beroperasi di Telok Gong dan ia terhad kepada industri ringan dan sederhana.
“JAS turut sudah menjalankan kajian awal penyiasatan dan mencadangkan pelan tindakan mitigasi serta pemuliharaan sungai secara jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” ujarnya.
Pada 6 Julai lalu, Kosmo! melaporkan misteri insiden air Sungai Chandong bertukar merah terungkai dengan penahanan sebuah lori tangki di sebuah premis haram di Pelabuhan Klang.
Serbuan dijalankan JAS Selangor itu mendapati lori berkenaan disyaki membuang sisa cat dan pigmen merah dalam kejadian 29 Jun lalu selain menemukan 100 tong berisi pelbagai buangan seperti cat, dakwat, asid terpakai dan minyak hitam terpakai. – KOSMO! ONLINE