fbpx

Silat Dunia: Muhammad Robial layak ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Robial menjadi pesilat pertama melangkah ke separuh akhir pada hari kedua Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

MELAKA – Kontinjen silat negara ceria apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Muhammad Robial Sobri menjadi pesilat pertama melangkah ke separuh akhir pada hari kedua Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau yang bertanding dalam Kelas I di Arena 1, tidak berdepan tentangan sengit menewaskan pesilat dari Indonesia, Hendra Wahyu Hidayat, 40-17 dalam saingan suku akhir.

Kemenangan tersebut membolehkan Muhammad Robial, 29, berdepan pesilat Amerika Syarikat (AS), Earl Hurlburt yang mengalahkan S. Piyush dari India dengan keputusan 36-12 dalam perlawanan serentak di Arena 2.

“Saya rasa sangat berpuas hati dan ini penyertaan kali keempat serta berharap tiada halangan untuk layak ke akhir dan bergelar juara.

“Tiga kejuaraan saya sertai sering terkandas untuk bergelar juara kerana masalah kecederaan dan sebagainya, tetapi kali ini harapnya tidak berlaku lagi,” kata pesilat berasal dari Kedah itu ketika ditemui pemberita.

Ujar lagi, walaupun mengalami slipped disc dan sepatutnya perlu menjalani pembedahan, namun beliau nekad menangguhkannya terlebih dahulu kerana ingin beraksi di kejuaraan ini.

“Saya berazam untuk menewaskan pesilat dari AS serta layak ke akhir dan paling penting saya mahu meraih gelaran juara,” ujarnya.

Terdahulu, pada aksi sebelah tengah hari, dua pesilat negara melangkah ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing, meneruskan baki pusingan kelayakan yang tidak dapat ditamatkan semalam.

Mohammad Amiruddin Adzmi mempamerkan kelincahan apabila mudah menewaskan Tokurov Daniar dari Kyrgzystan untuk menang 76-45 dalam Kelas H.

Seorang lagi pesilat negara, Aizad Akbar menerima tentangan sengit daripada Khassen Maxat dari Kazakhstan sebelum menang 44-32 dalam kelas A.

Bagaimanapun, Mohamad Aqasha Fitri Mohd. Arif Faizal gagal mengikut jejak langkah dua rakannya kerana terkandas untuk mara ke suku akhir selepas tumpas 23-49 kepada jaguh Vietnam, Le Van Toan dalam Kelas Terbuka 1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI