fbpx

Kutipan Tabung Pahlawan peluang dekati veteran tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal beramah mesra bersama veteran tentera, Sarjan Hassanuddin Abdul Karim pada Majlis Pelancaran Kutipan Tabungan Pahlawan Peringkat negeri Perak di Dewan 2 Briged di sini hari ini.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Kutipan secara langsung Tabung Pahlawan oleh persatuan dan kelab veteran tentera di negeri ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati serta mendengar sendiri kisah pengalaman mereka berjuang demi mempertahankan negara.

Sebanyak 35 buah persatuan dan kelab veteran yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan menjayakan kutipan ini termasuk siri kunjungan ke sekolah-sekolah, insitusi pengajian tinggi dan di tempat-tempat awam.

Pengarah JHEV negeri Perak, Mejar Hassanuddin Othman berkata, kunjungan ahli-ahli veteran ini ke tempat-tempat awam juga bersifat serampang dua mata termasuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air khususnya kepada generasi muda.

Katanya, ia juga antara matlamat Tabung Pahlawan iaitu untuk mengajak masyarakat mengenang jasa pahlawan serta turut sama menyumbang bagi membantu pejuang yang tercedera dan para balu.

“Pada tahun ini JHEV telah diberi kebenaran untuk membuat kutipan jalanan atau secara terus dan buat pertama kali juga kita libatkan bekas tentera menerusi persatuan dan kelab-kelab veteran masing-masing.

“Dengan cara ini kita mahu masyarakat mengambil kesempatan untuk mengenali siapakah wira-wira negara ini, kehidupan mereka dan yang paling penting mendengar sendiri kesukaran yang mereka lalui demi negara tercinta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kutipan Tabungan Pahlawan Peringkat negeri Perak di Dewan 2 Briged di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Razman Zakaria yang diwakili pegawai khasnya, Ahmad Faizal Ahmad Fuad dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Mengulas lanjut menurut Hassanuddin, pada tahun lalu JHEV negeri Perak berjaya mengutip RM300,00 bagi mengisi Tabung Pahlawan termasuk RM50,000 menerusi kutipan terus daripada persatuan dan kelab veteran.

Justeru katanya, pada tahun ini pihaknya berharap jumlah tersebut dapat ditingkatkan khususnya menerusi sumbangan daripada pihak korporat, syarikat dan para dermawan yang prihatin.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI