PETALING JAYA – Impak daripada kejayaan filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan lakonan aktor Datuk Adi Putra, penerbit filem Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi meletakkan harapan tinggi supaya naskah yang bakal ditayangkan pada 4 Ogos itu juga mendapat tuah serupa apabila menampilkan lakonan oleh pelakon asal Singapura itu.
Raja Azmi ketika ditemui Kosmo! semalam berkata, dia mengharapkan penampilan Adi Putra dalam filem bergenre seram itu dapat memberi magis sekali gus mencetus fenomena serupa seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
“Saya berdoa dan berharap supaya filem Jerangkung Dalam Almari mendapat ‘tuah’ daripada aura filem Mat Kilau yang turut menampilkan lakonan Adi Putra,” katanya.
Ketika disoal tentang sasaran kutipan yang diharapkan, penerbit filem berusia 63 tahun itu enggan meletakkan target yang terlalu tinggi seperti yang diraih oleh filem arahan Syamsul Yusof itu selepas berjaya mencatat jumlah kutipan lebih RM90 juta.
“Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa sebab takut hendak sebut angka kutipan yang disasarkan. Tapi kalau tidak dapat puluhan juta, dapat juta-juta pun cukuplah,” ujarnya kepada Kosmo!
Dalam pada itu, Raja Azmi turut melahirkan rasa syukur selepas filem Jerangkung Dalam Almari akhirnya bakal menemui penonton di pagawam selepas dua tahun ‘diperam’ akibat pandemik Covid-19.
Katanya, filem yang telah dibuat pada tahun 2019 itu berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk bajet yang telah diterima tidak dapat dikeluarkan dari dalam bank atas sebab-sebab tertentu.
“Nasib baik kenalan saya yang merupakan seorang peguam sudi mendahulukan duitnya sebanyak RM50,000 supaya penggambaran dapat dijalankan. Kalau tidak akan tertangguh lagi,” jelasnya.
Raja Azmi yang sebelum ini telah menerbitkan beberapa buah filem antaranya ……Dalam Botol, Cinta 200 Ela dan Black Widow – Wajah Ayu memberitahu pengalaman lalu telah banyak mengajarnya supaya tidak menggunakan kuasa veto sebagai penerbit untuk memilih pelakon.
“Sebelum ini saya menggunakan kuasa veto saya sebagai penerbit untuk membuat pemilihan pelakon yang bukan lahir dalam bidang seni contohnya orang dari dunia sukan
“Selepas belajar dari kesilapan, saya kini memberi kuasa kepada pengarah untuk memilih siapa pelakon yang sesuai dan ambil pelakon sebenar,” katanya.
Sekadar info, selain Adi Putra, filem Jerangkung Dalam Almari arahan Shadan turut menampilkan lakonan Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Amerul Effendi dan Isaac Iman. – KOSMO! ONLINE