PETALING JAYA – Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestle) meneruskan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan jualan dan keuntungan yang kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, prestasi menggalakkan itu dipacu oleh jualan domestik dan eksport yang kembali meningkat.
Menurut beliau, perolehan bagi suku tahun yang dilaporkan mencecah RM1.64 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 18.8 peratus berbanding RM1.38 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lepas.
Jelas beliau, prestasi ini dipacu oleh jualan domestik dan eksport yang masing-masing meningkat sebanyak 12.5 peratus dan 48.1 peratus.
“Tahap penggunaan terus meningkat disokong oleh aktiviti menambah permintaan dan kecemerlangan dalam pelaksanaan operasi.
“Usaha ini membolehkan kami menunaikan janji untuk menawarkan Good Food, Good Life kepada semua menerusi rangkaian produk kami yang luas, sambil mengukuhkan tahap komunikasi serta menggiatkan penglibatan kami dengan pengguna melalui aktiviti digital dan acara yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Aranols menerangkan, bertekad untuk membekalkan produk yang memenuhi pilihan pengguna, Kumpulan telah melancarkan beberapa produk baharu pada suku tahun yang dilaporkan.
Tambah beliau, Kumpulan mencatat untung sebelum cukai dan untung selepas cukai masing-masing meningkat kepada RM237.9 juta dan RM169.7 juta pada suku kedua 2022.
“Angka ini dicapai menerusi jualan yang lebih kukuh dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 yang lebih rendah berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.
“Prestasi lebih baik ini dicatatkan walaupun menghadapi kesan harga komoditi lebih tinggi, kadar pertukaran yang kurang baik dan juga kesan Cukai Makmur terhadap untung selepas cukai,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE