PETALING JAYA – AMMB Holdings Berhad (AMMB) melalui anak syarikatnya, AmGeneral Holdings Berhad (AGHB) telah berjaya memuktamadkan penjualan anak syarikat milik penuh, AmGeneral Insurance Berhad (AGIB) kepada Liberty Insurance Berhad (LIB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, ini adalah susulan daripada penerimaan kelulusan kawal selia oleh Menteri Kewangan dan penandatanganan perjanjian jual beli saham dengan LIB.
“Kami sememangnya berbesar hati dengan penyempurnaan penjualan perniagaan insurans am ini kepada Liberty Mutual Insurance.
“Sebagai rakan kongsi strategik, kami berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan mereka, dan kami juga yakin bahawa menerusi usahasama ini, kami akan lebih bersedia dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan juga rakan kongsi perniagaan kami dengan penyelesaian insurans yang inovatif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Sulaiman, ekoran penyempurnaan perjanjian tersebut, LIB telah memperoleh 100 peratus saham AGIB yang sebelum ini 51 peratus dimiliki oleh AMMB dan 49 peratus dimiliki oleh Insurance Australia Group, untuk pertimbangan pembelian utama berjumlah RM2.29 bilion.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan,AMMB telah menerima wang tunai berjumlah RM287 juta dan 30 peratus kepentingan dalam AGIB dan LIB yang bernilai RM939 juta.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, AMMB telah memeterai kerjasama bankasurans baharu selama 20 tahun bagi pengedaran produk insurans am.
Operasi AGIB dan LIB akan digabungkan secara rasmi pada tarikh berikutnya, yang mana entiti gabungan itu dijangka menjadi pembekal insurans am yang tersohor dan juga pembekal insurans kenderaan terbesar di Malaysia. -KOSMO! ONLINE