fbpx

Kampung Iboi dilanda kepala air lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arus deras Sungai Kupang di Kampung Iboi, Baling selepas hujan lebat kira-kira pukul 4 petang tadi. Foto: media sosial.

BALING – Penduduk di Kampung Iboi, Kupang di sini mula dilanda kerisauan apabila paras Sungai Kupang semakin meningkat dengan arus deras selepas berlaku hujan lebat kira-kira pukul 4 petang tadi.

Paras sungai dikatakan sudah mencecah jambatan Bailey yang dibina sementara bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh akibat kejadian kepala air pada 4 Julai lalu.

Difahamkan terdapat beberapa buah rumah yang terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai sudah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah, 62, berkata, hujan lebat berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi sebelum air dari Gunung Inas turun dengan deras ke sungai berhampiran kawasan kampung.

“Penduduk kini dalam keadaan bimbang dan ada penghuni yang telah diminta berpindah ke kawasan selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, setakat ini tiada batang pokok yang dihanyutkan seperti kejadian kepala air tempoh hari.

“Air masih deras sehingga sekarang dan ada tebing yang runtuh. Jika ada batang pokok yang dihanyutkan seperti kejadian kepala air sebelum ini, saya rasa jambatan Bailey ini pun akan runtuh,” ujarnya.

Tambahnya, penduduk di situ bimbang kolam takungan dari projek tanaman musang king di atas Gunung Inas pecah kerana ia mampu memberi kesan buruk kepada penduduk di situ.

“Pihak berkuasa seperti pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah berada di lokasi berisiko sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI