SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan membangunkan aplikasi halal bagi memudahkan pengguna mengenalpasti produk yang telah mendapat pensijilan halal.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini akan mendorong syarikat-syarikat mendaftar produk mereka terutama berasaskan makanan supaya mendapat pensijilan halal.
“Namun ramai ‘take for granted’ untuk memiliki atau mendapatkan label halal lebih-lebih lagi di kalangan pengusaha beragama Islam kerana mereka tiada keprihatinan.
“Cuma pensijilan halal akan menjamin kerana sebahagian besar akan melihat daripada sumber mana produk dan bekalan dibuat, penyimpanan, kualiti kebersihan kepada kesihatan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program baucar halal Selangor membantu rakyat tangani inflasi di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dianggarkan seramai 2,800 rakyat negeri ini yang berpendapatan bulanan isi rumah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bakal menerima manfaat baucar halal itu.
Baucar bernilai RM100 ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan status halal dalam satu transaksi di premis-premis terlibat seperti Kohijrah, Mydin, 99 Speed Mart dan Azzainmart Peneraju Kedai Halal. -KOSMO!ONLINE