ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang gagal memotong kenderaan lain di Jalan Dalong, Jelatang-Gadek di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa Muhammad Shah Fiy Shahrin, 25, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Gadek.
“Hasil siasatan di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Gadek ke Alor Gajah cuba memotong sebuah kereta.
“Bagaimanapun, kereta tersebut telah bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke laluan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu kereta tersebut juga telah terbabas ke kanan jalan dan telah melanggar pokok lalu terbakar.
“Pemandu dan penumpang kereta bagaimanapun berjaya diselamatkan, namun mengalami patah tangan kiri dan luka-luka pada anggota badan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sek 41(1) Angkatan Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.