KOTA KINABALU – Dua kanak-kanak maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, di sini malam tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, Isa Sabri, 2 dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Dua lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Siti Nur, 28, mengalami kecederaan patah tangan manakala suaminya, Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan di HQE.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.26 malam tadi sebelum 24 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Anggota yang bertugas di lokasi kejadian dan mendapati memang berlaku tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah didiami sembilan sekeluarga.
“Terdapat empat mangsa terlibat dalam runtuhan berkenaan iaitu seorang cedera di kaki manakala tiga lagi tertimbus tanah. Seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam. Bagaimanapun, dua kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan,” katanya hari ini.-KOSMO! ONLINE