fbpx

Liga Premier : KUFC, Skuad Projek FAM-MSN kongsi satu mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KUFC sedang mengasak gawang Skuad Projek FAM- MSN untuk mencari gol penyamaan pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN KUFC

Oleh MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU – Kelantan United FC (KUFC) gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri apabila hanya sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan Skuad Projek FAM- MSN pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Gawang KUFC bolos seawal minit ketujuh apabila pemain pertahanan, Shuhei Fukai tertanduk bola masuk ke gol sendiri untuk menghadiahkan gol pembukaan kepada Skuad Projek FAM-MSN.

Gol tersebut seolah-olah mengganggu rentak dan taktikal KUFC apabila mereka dilihat hilang fokus sehingga kerap melakukan kesilapan.

Kemasukan Njoku Jacob menggantikan Mohamad Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-25 dilihat menambah sedikit keyakinan kepada jentera serangan KUFC.

Tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma selepas ayam tambatan KUFC, Nik Akif Syahiran Nik Mat dikasari, namun sepakan Jacob melewati palang gol Skuad Projek FAM-MSN.

KUFC berpeluang untuk memperoleh gol penyamaan pada minit ke-50 selepas mereka mendapat sepakan penalti, namun ia gagal disudahkan oleh Jacob apabila melakukan tendangan lemah sehingga penjaga gawang pelawat, Aizat Aiman Mazlan dapat menepis bola keluar.

Penantian KUFC untuk memperoleh jaringan pertama hadir tidak lama selepas itu apabila pemain penyerang, Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin memanfaatkan peluang terhidang di hadapan gol Skuad Projek FAM-MSN.

Tuan rumah berdepan situasi genting apabila pemain pertahanan, Muhammad Haziq Mohd Subri diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.

Bermain dengan 10 pemain, KUFC dilihat terus kental bertahan sehingga ke wisel penamat dan perlawanan berkesudahan seri 1-1. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI