PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Lufya Omar diminta membawa anak perempuannya ke balai polis untuk dirakam keterangan berhubung cubaan menculik yang didakwa berlaku di sebuah taman permainan di Kota Damansara, di sini, pada 26 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan anak pelakon yang berusia lima tahun itu diharap dapat membantu siasatan.
“Selain itu, kita (polis) juga akan mendapatkan lakaran wajah (fotofit) suspek bagi membuat hebahan awam.
“Polis sudah menghubungi Lufya dan sekarang masih menunggu kerjasama daripadanya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian, Am dan Berharga di Balai Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Pada 26 Jun lalu, Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendakwa cedera di bahagian kepala dan badan akibat dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya itu. – KOSMO! ONLINE.